Hadith Rasullullah s.a.w. :"Halal itu jelas, haram itu pun jelas, dan antara keduanya ada beberapa perkara yang syubhat (samar) yang banyak dari manusia tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa memelihara dirinya dari segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam haram,"(H.R. Muslim)
Tabiat menggunakan tembakau dalam bentuk merokok boleh dijadikan sebagai satu contoh perkara samar di mana tidak ditemui nas yang khas menetapkan hukumnya. Pada umumnya orang menganggap hukum merokok hanya makruh, sama dengan memakan makanan yang baunya tidak sedap seperti memakan bawang, jering dan sebagainya. Hadith Rasullullah s.a.w. : "Barang siapa makan bawang putih atau bawang merah maka janganlah mendekati masjid-masjid kita, kerana malaikat terganggu,"
Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh termasuk ke dunia Islam oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpengaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.
Menghisap rokok adalah suatu perbuatan membunuh diri sendiri dan orang lain atau makhluk lain yang sentiasa terdedah kepada asap yang berpunca daripada perokok itu, sungguhpun proses pembunuhan ini mengambil masa yang agak lama. Firman Allah s.w.t. : "Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah Maha Penyayang" (An-Nisa' : 29) Hadith Rasullulah s.a.w. : "Siapa yang membunuh diri dengan meminum racun, maka racun itu akan tetap berada di tangannya dan diminumnya dalam neraka jahanam"
(Abu Hurairah r.a.)
Adakah amalan sebegini harus dalam Islam?
Islam melarang kita melakukan sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan kita dan yang boleh mengancamkan kehidupan kita. Apa saja yang dimasukkan ke dalam tubuh dan uratsaraf kita hendaklah yang baik, bersih dan yang menjaminkan keselamatan jasmani, akal dan rohani kita.
Allah berfirman dengan maksud menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka yang buruk-buruk. (Al-A'raf: 157)