Thursday, July 5, 2007

Lelaki : Mengapa Mesti Merokok?

Hadith Rasullullah s.a.w. :"Halal itu jelas, haram itu pun jelas, dan antara keduanya ada beberapa perkara yang syubhat (samar) yang banyak dari manusia tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa memelihara dirinya dari segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam haram,"(H.R. Muslim)

Tabiat menggunakan tembakau dalam bentuk merokok boleh dijadikan sebagai satu contoh perkara samar di mana tidak ditemui nas yang khas menetapkan hukumnya. Pada umumnya orang menganggap hukum merokok hanya makruh, sama dengan memakan makanan yang baunya tidak sedap seperti memakan bawang, jering dan sebagainya. Hadith Rasullullah s.a.w. : "Barang siapa makan bawang putih atau bawang merah maka janganlah mendekati masjid-masjid kita, kerana malaikat terganggu,"

Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh termasuk ke dunia Islam oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpengaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

Menghisap rokok adalah suatu perbuatan membunuh diri sendiri dan orang lain atau makhluk lain yang sentiasa terdedah kepada asap yang berpunca daripada perokok itu, sungguhpun proses pembunuhan ini mengambil masa yang agak lama. Firman Allah s.w.t. : "Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah Maha Penyayang" (An-Nisa' : 29) Hadith Rasullulah s.a.w. : "Siapa yang membunuh diri dengan meminum racun, maka racun itu akan tetap berada di tangannya dan diminumnya dalam neraka jahanam"
(Abu Hurairah r.a.)

Adakah amalan sebegini harus dalam Islam?



Islam melarang kita melakukan sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan kita dan yang boleh mengancamkan kehidupan kita. Apa saja yang dimasukkan ke dalam tubuh dan uratsaraf kita hendaklah yang baik, bersih dan yang menjaminkan keselamatan jasmani, akal dan rohani kita.

Allah berfirman dengan maksud menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka yang buruk-buruk. (Al-A'raf: 157)

Wednesday, July 4, 2007

Teruna : Simbol Kekuatan Lelaki Sebenar Sebelum Berkahwin

Teruna adalah zaman peralihan dari dunia kanak-kanak lelaki ke alam dewasa lelaki. Pada masa ini berlaku perubahan dari segi fizikal, emosi dan psikologi yang boleh menimbulkan tandatanya mengapa perubahan ini berlaku dan apakah rahsia di sebaliknya?

Mengenali perubahan fizikal alam teruna

Mengetahui perubahan-perubahan yang berlaku akan menjadikan anda lebih yakin dan selesa dengan diri anda yang baru. Perubahan-perubahan ini berbeza antara individu.

10 – 13 tahun

  • Badan bertambah gagah
  • Otot-otot membesar
  • Bahu melebar
  • Dada menjadi bidang
  • Suara menjadi garau
  • Skrotum membesar
  • Kulit skrotum bertambah kasar dan berwarna gelap
  • Saiz zakar membesar

14 – 17 tahun

  • Tubuh bertambah tinggi
  • Bulu ari-ari tumbuh dan bertambah lebat
  • Skrotum semakin membesar
  • Kulit skrotum semakin kasar
  • Saiz zakar semakin membesar
  • Jerawat mula tumbuh
  • Mengalami mimpi ghairah (wet dream)

18 - 19 tahun

  • Ketinggian bertambah
  • Bulu tumbuh di ketiak dan mungkin di bahagian dada
  • Misai dan janggut mula tumbuh
  • Warna kulit skrotum bertambah gelap
  • Saiz zakar semakin membesar

Sistem reproduktif teruna

Mengenali sistem reproduktif teruna

Organ-organ sistem reproduktif teruna terdiri dari :

  • Zakar

  • Testis

  • Skrotum

  • Kelenjar prostate

  • Duktus sperma

  • Vesikal seminal


Zakar - Organ yang boleh mengendur dan mengembang akibat sesuatu rangsangan. Berfungsi menyalur keluar air kencing dan air mani.

Skrotum - Pundi lembut yang mengampu dan melindungi testis. Berfungsi untuk mengawal suhu sekitaran testis, agar lebih sejuk dari suhu badan. Skrotum akan mengembang supaya testis akan berada jauh dari badan apabila suhu badan meningkat. Skrotum akan mengecut dan testis akan berada berhampiran tubuh apabila suhu/cuaca sejuk.

Testis - Kelenjar yang menghasilkan sperma (benih lelaki). Terdapat sepasang testis iaitu di kiri dan di kanan. Testis juga mengeluarkan hormon testosteron bagi mengekalkan sifat kelelakian.

Kelenjar - Kelenjar yang menghasilkan cecair lekit yang membantu sperma disalirkan.

Prostate dan Vesikal seminal - Cecair ini bercampur dengan sperma dipanggil air mani

Duktus sperma - Saluran yang membawa sperma dari testis ke vesikal seminal.


Mimpi ghairah

Mimpi ghairah berlaku semasa seorang teruna tidur dan mendapat mimpi yang menghairahkan seperti bermesra atau melakukan hubungan seksual dengan seorang gadis. Bila terjaga dari mimpi, didapati telah berlaku ejakulasi (terpancutnya air mani) dan terdapat tompokan lendir di kain atau seluar dalam. Mimpi ghairah yang pertama adalah tanda seorang teruna mencapai usia baligh.


Berkhatan

Amalan berkhatan adalah satu amalan yang meluas yang diamalkan di kalangan lelaki khususnya penganut agama Islam. Berkhatan adalah satu proses di mana kulit khatan (kulit yang menutup kepala zakar) dibuang dengan menggunakan teknik yang selamat.




Amalan cara hidup sihat

  • Membina kekuatan peribadi (inner strength) dengan pendekatan agama.

  • Meluangkan masa untuk menilai kelemahan yang ada pada diri, dan membina keazaman untuk memantapkan keyakinan serta harga diri

  • Makan dengan cara yang sihat dan teratur

  • Bersenam secara berkala dan meluangkan masa berekreasi supaya membentuk tubuh yang sihat dan minda yang cerdas

  • Memastikan masa rehat dan tidur yang mencukupi

  • Mengelakkan dari mendekati perkara-perkara yang boleh merangsang dorongan seks seperti menonton atau membaca majalah lucah.

  • Menjauhi dari merokok



Jadilah diri anda

Teruna perlulah bersifat realistik dalam menetapkan tujuan dan arah hidup di alam remaja. Teruna yang mempunyai wawasan akan dapat mengharungi alam remaja dan mampu membezakan antara impian dan kenyataan. Teruna perlu menyedari tahap kemampuan diri sendiri dan seterusnya berusaha membentuk peribadi berpandukan nilai diri, ugama dan budaya. Pada zaman remaja, teruna harus menggunakan kesempatan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi alam dewasa kelak.